Kerana aku seperti air
Aku boleh mencari jalan mudah untuk merupa diriku
Membentuk diri pada bejana yang telah sedia ada
Lalu lama seperti yang biasa
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk terus sebagai air
Mengalir tidak pernah berhenti
Melimpah, menyerap, menghakis, menembus
Memenuh pada setiap ruang yang kosong
Tanah tandus & benih kering
Kucurahkan subur agar muncul tunas
Merimbun duduk berteduh di dataran kosong.
Kerana aku seperti air
Aku boleh mencari alur pendek untuk meringkaskan perjalananku
Mencari kolam kecil dan lopak yang telah sedia berlubang
Lalu bertakung tiada hasil menunggu kering masa.
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk terus gagah mengalir
Dari pancaran anak batu di hulu belantara
Meliku, melekok, membelah dada baruh dan darat, selatan dan utara.
Lantas!
Si dahaga menghirup jernih teguk yang sejuk
Si lapar mengail isi subur khazanah dada yang kaya
Tebing menyambut perahu
Menemukan rindu dengan yang ditunggu
Kerana aku air
Aku boleh memilih untuk tiada tersirat di sebalik yang tersurat
Mengalir dangkal sejengkal dari pangkal
Lalu mudah ditafsir segera, sejurus sebelum kontang terserap ke udara.
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk menjadi lautan seribu tanda tanya
Bagi pelayar di permukaan luas pandangan mata
Ketemulah ia ribut taufan yang menggila
Namun yang bestari ingin mencari makna
Akan menyelami sepi gelita dan bebal sekaki dua
Hingga sampai ke dasar selepas jerih payah dan sabar jiwa
Riwayat aku seperti air
Di hari subur berbakti pada manusia dada tanah watan
Di hari gersang mikraj ke langit atas perintah Tuhan
Basah kering air, hanya kitaran pusingan nadi
Bumi dan langit,
AIR TERUS MAUJUD KEKAL MENABUR BAKTI.
وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِّن مَّاءٍ فَمِنْهُم مَّن يَمْشِي عَلَىٰ بَطْنِهِ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِي عَلَىٰ رِجْلَيْنِ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِي عَلَىٰ أَرْبَعٍ يَخْلُقُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu daripada air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Nūr 24: 45]
No comments:
Post a Comment