Wednesday, April 15, 2015

Adakah Biblioholisme Suatu Penyakit?


ANTARA kritik yang selalu dikenakan kepada bibliofil ialah mereka sering mengasingkan diri (alienated) daripada orang lain. Mereka asyik dengan dunia mereka sendiri. Hal ini mengingatkan penulis kepada watak Rangga yang dilakonkan oleh Nicholas Saputra dalam filem Ada Apa Dengan Cinta yang amat meminati buku, puisi dan sastera. Digambarkan Rangga sering keseorangan dan menghabiskan masa dengan dunia bukunya. Amat penting difahami, bibliofil bukanlah terasing tetapi sebenarnya berada dalam satu keadaan yang setiap masa perlu diisi dengan sesuatu yang positif. Kesan besar buku kepada bibliofil terlihat dari segi percakapannya, pemikirannya, penulisannya, pembawaannya dan penerapan ilmu dalam kehidupannya. Kesemua unsur ini sangat berkaitan dengan keterampilan intelektual yang sangat mewarnai diri bibliofil. Bibliofil sebenarnya bukan sahaja mencintai buku, tetapi juga menyanjung budaya ilmu dalam kehidupannya. Kesan akhir budaya biblioholisme ialah ia akan melahirkan manusia beradab tinggi (highly cultured person). Individu beginilah sebenarnya yang ingin dilahirkan daripada segala macam kempen gerakan budaya membaca yang dianjurkan selama ini.

Sekiranya biblioholisme penyakit yang ekstrem, ia tetap penyakit yang positif dalam pengertian yang seluas-luasnya. Hal ini adalah kerana seorang bibliofil tidak akan mampu mengubat penyakitnya dan akan terus membeli, mengumpul dan mengagumi buku dan lebih daripada itu amat mencintai ilmu. Pesan Imam Al-Ghazali, "Jadilah manusia yang tamak dan rakus terhadap ilmu." Buku adalah wahana penting untuk mendapatkan ilmu. Menjadi bibliofil sebenarnya menjadi seorang yang berilmu. James Bacon (1561-1626), ahli falsafah Inggeris, pernah berkata, "Membaca menjadikan seseorang itu berisi." Berisi di sini bererti berisi dengan ilmu pengetahuan, cara berfikir dan pandangan hidup yang luas, kritis dan rasional, kemampuan membezakan antara yang tidak benar dengan yang benar. Biasanya orang yang "berisi" tidak banyak bercakap. Kalau bercakap, mereka tidak bercakap tentang perkara remeh-temeh seperti kata pepatah "tin yang berisi padat, apabila diketuk tidak berbunyi bising, berbanding dengan tin kosong".

Dipetik daripada buku Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya karya Shaharom TM Sulaiman.

CopyPaste#
Sumber : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Pautan : https://www.facebook.com/notes/institut-terjemahan-buku-malaysia-itbm/adakah-biblioholisme-suatu-penyakit/10151966690175094


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...